Ahad, 25 Januari 2015

Email| Print | Tengku Intan Zaharah mangkat, takziah

KUALA TERENGGANU: Kami ingin merakamkan ucapan takziah di atas kemangkatan Tengku Ampuan Tua Terengganu Tuanku Intan Zaharah Almarhum Tengku Omar Seri Setia, 86, di sebuah hospital di ibu negara, kira-kira pukul 3.26 petang tadi.

Almarhumah adalah bekas Raja Permaisuri Agong keempat dari tahun 1965 hingga tahun 1970 dan bekas Tengku Ampuan Sultanah negeri Terengganu dari tahun 1945 hingga tahun 1979.

"Sembah takziah khusus kami zahirkan kepada ke bawah DYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang telah kehilangan nenda tercinta.

Bernama melaporkan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Osman Muda memaklumkan berikutan kemangkatan itu, Terengganu akan berkabung selama 40 hari dan bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang bermula hari ini sehingga 4 Mac.

"Jenazah almarhum dijangka tiba di Kuala Terengganu pukul 10 pagi esok dan akan dibawa ke Istana Maziah sebelum dibawa ke Masjid Abidin untuk solat jenazah serta dikebumikan di Makam Diraja Terengganu di Masjid Abidin selepas solat zuhur," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata waktu untuk pembesar negara dan negeri serta tetamu kenamaan memberi penghormatan terakhir dijangka bermula 12 tengah hari esok sehingga pukul 1 tengah hari di Istana Maziah manakala untuk rakyat jelata yang ingin memberi penghormatan terakhir adalah dari 11 pagi hingga 12 tengah hari.